Followers

February 11, 2009

lagi detail pasal PGL

aku dpt permission dari ini tuan punya blog nak cilok hasil karya dia pasal sinopsis PGL. aku rasa dia wat garapan yg mendalam hingga aku boleh terbayang2 balik every scene yg diperkatakannya itu. tahniah SM!!! sesapa nak baca, bacalah. kalau takmo nanti ada next entry dtg balik no. hahahahagelakguling


Lebih lima bulan lalu, Datin Seri Tiara Jacquelina menerusi produksinya Enfiniti Productions mengumumkan akan mementaskan kembali teater muzikal Puteri Gunung Ledang. Sejak hari itu saya menghitung hari menantikan tibanya 6 Februari 2009. Walaupun saya telah berpuluh kali menonton teater tersebut sejak musim pertama dan keduanya di Kuala Lumpur hinggalah ke pementasan di Esplanade Singapura, saya tidak pernah puas menontonnya.

Sejak beberapa bulan ini kita sering membaca atau pun menonton publisiti yang disiarkan di akhbar mahu pun promo di televisyen. Dari cerita perubahan yang bakal dilakukan dalam pementasan kali ini, cerita tentang elemen ilusi yang pertama kali digunakan dalam teater Malaysia sehinggalah kepada berita mengejut pengunduran Tiara sebagai Puteri.

Setiap kali jugalah saya memikirkan apakah perubahan yang mahu dilakukan kepada pementasan yang sememangnya sudah cantik, sudah menang banyak anugerah dan yang sudah sememangnya sebati dengan rakyat Malaysia. Adakalanya saya terfikir mengapa perlunya diubah sesuatu yang sudah cukup baik tetapi apabila memikirkan produksi ini saya tidak hairan sekiranya mereka akan melakukan sesuatu yang berbeza.

Sehinggalah satu hari saya mendengar sendiri dari mulut Tiara, Ida Marina dan Chedd mengenai perubahan yang akan dilakukan. Saya begitu teruja kerana perancangan yang diatur sangat hebat. Bayangkan sebuah teater Melayu cuba untuk bermain dengan ilusi di atas pentas seperti yang pernah dipentaskan oleh Wicked atau pun Lord Of The Rings The Musical di Broadway atau pun West End. Puteri hilang di atas pentas, perubahan Nenek Kebayan kepada Puteri, kemurkaan Sultan dan macam-macam lagi.

Akhirnya, hari itu tiba dan saya menontonnya semalam. Pementasan malam tadi sebenarnya “full run-through” atau pun latihan penuh, namun demikian Panggung Sari, Istana Budaya penuh sesak dengan penonton.

Perubahan dan Penambahan Secukup Rasa

Beberapa adegan yang paling saya suka dalam pementasan sebelum ini diperkemaskan. Adegan Janji Dan Ikatan 2 Kerajaan kali ini diperhebatkan lagi dengan persembahan tarian Jawa oleh Puteri dan penari kepada rombongan Melaka. Kalau dulu segmen tarian agak pendek tetapi kali ini lebih panjang dan gerak tari diperkemaskan. Lagi pun tenaga pengajar yang dibawa khas dari Kraton Mangku nagara iaitu Mbak Kur yang pernah menjadi tenaga pengajar kepada Tiara sewaktu menghasilkan filem Puteri Gunung Ledang.

Penambahan Mimpi dan Penantian juga agak menarik. Di sini Puteri mengimbas kembali apa yang pernah diperkatakan oleh abangnya Adipati, pengasuhnya Bayan, Sultan Mahmud dan Datuk Laksamana Hang Tuah membulatkan tekadnya untuk pergi ke Melaka menjejak kekasihnya Hang Tuah.

Persiapan Puteri juga mengejutkan kerana Bayan menyembunyikan Puteri dari pandangan dan ditangkap untuk dibawa menghadap Adipati. Di sini elemen ilusi digunakan. Jangan tanya saya bagaimana Puteri hilang kerana tidak akan ada seorang ahli silap mata pun yang akan membuka rahsia mereka.

Bercakap tentang elemen ilusi saya agak skeptikal pada mulanya, takut-takut elemen itu digunakan dengan keterlaluan lalu pementasan menjadi seperti sarkis. Namun tanggapan itu salah bila setiap elemen ilusi dibuat kena pada tempatnya dan tidak keterlaluan. Anslem Roy tidak “over-do” it ! Fantastic !

Adegan Pelayaran Puteri digahkan dengan bahtera yang lebih besar dari pementasan terdahulu. Set bahtera berlayar lengkap dengan pergerakan dilambung ombak. Sekali lagi saya tergamam dan mata saya tidak berkelip. Pementasan berhenti rehat tetapi mulut tidak berhenti bercakap sewaktu menunggu waktu rehat tamat. Sungguh hebat pementasan kali ini.

Babak 2 bermula dengan Melaka yang lebih baik susunan muziknya yang bermula dengan gabungan muzik tradisional Melayu seperti zapin, dondang sayang dan joget sebelum menjadi lebih rancak dan moden. Saya fikir ia sesuatu yang lebih menarik berbanding musim lepas kerana di sinilah letaknya kreativiti pengarah muzik untuk mengindahkan lagi muzik yang ada. Susunan muzik yang dihasilkan oleh Roslan Aziz tidak perlu saya pertikaikan. Hasilnya amat baik sekali.

Sekali lagi saya kagum dengan kehebatan Adlin Aman Ramlie bila mana kali ini sebagai Sultan Mahmud dia menari bersama ensemble. Adlin tidak menari bersama sewaktu pementasan di Kuala Lumpur, cuma sewaktu PGL dipentaskan di Esplanade Singapura Adlin menari bersama-sama. Elemen Broadway disuntik dalam watak Sultan dan itu pastinya disukai oleh saya. Saya tidak kisah kalau Sultan yang selama ini sepatutnya diletakkan di tahap yang tertinggi, kali ini diberikan mood yang berbeza. Ada ketika Adlin berjenaka. Memandang ini hanyalah sebuah teater muzikal, saya terima dengan terbuka. Sememangnya Adlin pukul habis dengan menari kali ini.

Adegan Nenek Kebayan diberikan sentuhan ilusi. Nenek Kebayan boleh hilang dan muncul di tempat lain untuk mengelirukan rombongan Hang Tuah ke Gunung Ledang. Set Gunung Ledang lebih tinggi kali ini dan diletakkan lebih ke depan dan dekat dengann penonton bahagian depan. Saya mengetahui yang Nenek Kebayan itu sebenarnya Puteri dan kali ini transformasi dua watak itu lebih menjadi. Dari Nenek Kebayan menjadi Puteri sekelip mata. Sekali lagi ilusi digunakan.

Namun perubahan yang paling saya suka ialah Konfrontasi Puteri Dan Sultan. Ia merupakan kemuncak teater tersebut. Sultan Melaka dan Puteri Gunung Ledang berada pada tahap terbaik. Jika pementasan dulu saya melihat kesombongan Puteri masih tebal dalam diri Tiara yang mana beliau hanya berdiri sambil Sultan Melaka melafazkan sumpahnya. Kali ini Puteri lebih tunduk kepada Sultan. Konfrontasi antara mereka benar-benar menjadi. Lakonan mereka hebat. Lebih-lebih lagi lakonan Tiara apabila beliau sanggup dimalukan semata-mata kerana cinta.

Selepas dua tahun tidak menyentuh skrip tersebut, mereka memberikan terjemahan baru kepada skrip tersebut. Saya anggap lakonan Tiara berada di tahap terbaik dalam musim ini apabila adegan ini diwujudkan. Cinta membuatkannya sanggup untuk diperlakukan sedemikian. Apakah sedemikian yang saya maksudkan, anda patut tonton sendiri.

Adegan tersebut membuatkan penonton terdiam menyaksikan sendiri lakonan terbaik oleh dua pelakon itu. Tiara membenarkan dirinya diserap watak Puteri dalam pementasan musim ini. Seorang Puteri yang mencari cinta sejati seorang bernama Hang Tuah. Dan kerana cinta beliau sanggup melakukan apa saja termasuk menjunjung daulat seorang Sultan.

Saya geleng kepala tonton adegan tersebut. Amat berpuas hati dan berkata kalaulah adegan itu wujud dalam pementasan musim pertama sudah pasti Tiara membawa pulang anugerah Pelakon Terbaik di BOH Cameronian Arts Awards. Memang jauh bezanya aura Puteri yang dibawa oleh Tiara di musim ini. Lebih puas menontonnya lebih-lebih lagi bila Stephen Rahman-Hughes sudah semakin sebati dengan bahasa Melayu dan geraknya lahir semulajadi. Gabungan Tiara dan Stephen amat menjadi musim ini. Lakonan kedua-duanya lebih natural. Dan yang paling penting Tiara menamatkan lakonan berhantunya dengan watak Puteri Gunung Ledang dengan cemerlang ! Syabas Dato’ Zahim !

Kepada penganjur BOH Cameronian Arts Awards, please consider Tiara for BOH CAA Lifetime Achievement Award and reconsider to include Puteri Gunung Ledang The Musical Season 3 for nomination in 2009 shortlisted performance for another year.

Cuma ada satu sahaja yang kurang saya suka iaitu kostum Hang Tuah yang nampak agak tenggelam dalam kemewahan kostum bermotif songket kumpulan ensemble. Kostum Hang Tuah kurang menyerlah sebagai seorang Laksamana. Lain daripada itu, baik arahan, lakonan, muzik, set, koreografi, kostum, tatacahaya, bunyi, ensemble, kesan visual, elemen ilusi dan solekan saya kagum dengan kehebatan mereka.

Saya kagum dengan produksi pementasan ini yang bekerja keras mahu mengangkat martabat teater Malaysia dan hasilnya amat di luar dugaan. Sebagai anak Malaysia saya bangga kerana masa depan teater Malaysia semakin bersinar dan produksi ini telah meletakkan tanda aras yang baru untuk teater Malaysia. Perjuangan untuk penggiat teater Malaysia belum selesai kerana mereka harus mencapai standard yang telah ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang The Musical.

Saya akan menonton lagi malam ini, malam esok (malam media), malam gala (bersama YDP Agong & Permaisuri Agong) dan satu malam lagi bersama keluarga. Jika anda masih belum mendapatkan tiket untuk menyaksikan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical, pastikan anda mendapatkannya segera.

Pilihan sultanmuzaffar


1. Arahan Dato’ Zahim Albakri
2. Lakonan Tiara Jacquelina sebagai Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah
3. Lakonan Stephen Rahman-Hughes sebagai Hang Tuah
4. Babak Konfrontasi Puteri Dan Sultan
5. Melaka, Arahan Muzik dan Susunan Muzik oleh Roslan Aziz
6. Rekaan Set Pelayaran Menuju ke Melaka, Istana Melaka & Gunung Ledang oleh Raja Malek
7. Elemen Ilusi Transformasi Nenek Kebayan kepada Puteri
8. Tarian ala Broadway Sultan Mahmud dalam Titah Sultan
9. Koreografi Perjalanan Ke Gunung Ledang
10. Adegan Tujuh Syarat Agung


p/s kkwn, layankan jerla. aura PGL aku lum abis daaaaaasengihnampakgigi

4 comments:

Mya said...

aiyokk sgt la panjang...

MariaFaizal said...

Oh wow, kena buat conclusion nih :)
Dik, tag completed :)

TiNiE said...

mya >> nanti pas ko g nengok PGL, ko baca balik..mesti terimbau2 nyerlaaa...

kakkimie >> tq kakkimie

aramis2177 said...

adduss....cam meremang lak bulu roma aku baca sinopsis citer tuh...iskkk,tingin banget aku nak pi tgk nih!gamaknya2 taun depan ada lg kaa dak haaa depa ulang?erkk..mcm taun depana ku ada sana dah kan!huhuhuhuh.....uwaa...nak gak tgk!!!

heart my community